Saturday, October 5, 2013

MARAH , MARAH ,MARAH JE KERJA

Nabi Muhammadﷺ  tidak pernah menunjukkan kemarahan Baginda terhadap golongan kafir Quraisy yang sentiasa bertindak di luar batasan terhadap kaum Muslimin. Bahkan, Baginda sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan penuh hikmah. Bagaimanakah cara Rasulullahﷺ mengawal kemarahan?
Rasulullahﷺ  menunjukkan beberapa panduan kepada kita bagaimana menguruskan sifat marah. Rasulullahﷺ  sentiasa menasihati para sahabat agar berwaspada dengan sifat marah.
.
.
Jangan Marah
.
Seorang sahabat Abu Hurairah r.a. telah meminta Bagindaﷺ  menasihatinya. Rasulullahﷺ  bersabda; “Jangan marah”. Larangan ini diulang oleh Rasulullahﷺ  beberapa kali. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Malik dan Tirmizi).
Begitu juga dengan seorang lagi sahabat yang bernama Abdullah bin Amru. Beliau bertanya Rasulullah ﷺ tentang sesuatu yang boleh menyelamatkan dirinya daripada kemurkaan Allah. Baginda ﷺ  menjawab perkara yang sama iaitu, “Jangan Marah”.
.
Dalam suatu kejadian, seorang sahabat meminta nasihat daripada Rasulullah ﷺ, lalu Baginda bersabda, “Janganlah kamu marah.” Sahabat lain pula bertanya, “Apakah yang dapat menyelamatkan daku daripada kemurkaan Allah?” Maka jawab Rasulullah ﷺ:“Jangan tunjukkan kemarahan kamu.” Sahabat yang lain pula meminta satu amalan kebaikan yang mudah untuk dilakukan, maka sabda Rasulullah ﷺ, “Janganlah marah!”
.
.
Mohon Perlindungan Kepada Allah
.
Dari Sulaiman bin Surad r.a., katanya: “Saya duduk bersama Rasulullah dan terdapat dua orang yang saling bermaki-makian antara satu sama lain. Salah seorang dari keduanya itu telah merah padam mukanya dan membesar urat lehernya, kemudian Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui suatu ucapan yang apabila diucapkannya, tentulah hilang apa yang ditemuinya (iaitu kemarahannya), iaitu andai kata dia mengucapkan: “A’udzu billahi minasy syaithan,” tentulah lenyap apa yang ditemuinya itu.” Orang ramai lalu berkata padanya (orang yang merah padam mukanya tadi): “Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Mohonlah perlindungan kepada Allah daripada syaitan.” Lelaki itu menjawab: “Adakah aku gila (sehingga aku perlu meminta perlindungan daripada syaitan) ?” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
.
.
marah
   Siapakah Orang Yang Paling Kuat
.
Suatu ketika, Rasulullahﷺbertanya kepada para sahabat. “Siapakah orang yang paling kuat di kalangan kamu?”Maka para sahabat memberi berbagai-bagai jawapan. Rasulullahﷺ  lalu berkata, “Bukanlah orang yang kuat itu orang yang banyaknya berperang (selalu menumpaskan orang lain); Sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
.
Peristiwa ini menunjukkan betapa pentingnya kita menahan diri daripada  sifat marah. Banyak insiden yang tidak diingini boleh dielakkan sekiranya kita berjaya menahan marah.
Rasulullahﷺ  menunjukkan ‘Qudwah’ yang baik ketika sedang marah. Dalam satu kejadian, seorang Arab Badwi telah menarik pakaian Rasulullahﷺ  sehingga meninggalkan kesan merah pada leher Baginda.  Lelaki Arab tersebut menuntut agar Rasulullahﷺ  memberikan wang kepadanya. Rasulullahﷺ  hanya tersenyum dan mengarahkan seorang sahabat menunaikan permintaan lelaki tersebut.
.
.
Rasulullah  Juga Manusia Biasa
.
Sebagai manusia biasa, Rasulullah ﷺ juga berasa marah. Namun Rasulullah ﷺ tidak pernah menunjukkan kemarahan itu dengan lidah atau perbuatannya. Apabila Baginda marah, para sahabat mengetahuinya dengan melihat wajah Baginda berubah menjadi merah dan peluh menitis di dahinya. Baginda juga akan senyap untuk beberapa bagi mengawal rasa marahnya.
.
Firman Allah سبحانه وتعالى:
وَإِن تَعْفُوا۟ وَتَصْفَحُوا۟ وَتَغْفِرُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ
“Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(urah At-Taghabun ayat 14).
.
Rasulullahﷺ  menjanjikan balasan yang baik di akhirat kepada sesiapa yang berjaya menahan marahnya. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, Baginda bersabda; “Sesiapa yang menahan marahnya sedangkan dia mampu melempiaskan marahnya, Allah سبحانه وتعالى  akan memanggilnya dari kalangan makhluk pada hari kiamat dan dia diberi peluang memilih bidadari yang ia sukai di syurga.”
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


No comments:

Post a Comment